14 Tempat Wajib Singgah Jika Bercuti ke Kuching, Sarawak

Sarawak sememangnya sebuah negeri yang unik di Kepulauan Borneo, Malaysia. Ia adalah negeri terbesar di Malaysia dengan mempunyai 12 daerah besar yang disebut Bahagian. Keluasan negeri Sarawak hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia. Namun, dari segi kepadatan penduduk, negeri ini mencatatkan nilai yang terendah.

Salah satu Bahagain dalam negeri Sarawak ialah Kuching. Bahagian Kuching pula terdiri daripada 3 daerah kecil lain iaitu Kuching, Bau dan Lundu. Dan Bandaraya Kuching merupakan ibu negeri Sarawak, yang pastinya banyak tempat menarik dan wajib singgah kalau bercuti ke sini.

14 Tempat Wajib Singgah Jika Bercuti ke Kuching, Sarawak

Tempat Wajib Singgah Jika Bercuti ke Kuching, Sarawak

Menerusi artikel ini, kami akan kongsikan beberapa tempat menarik dan wajib singgah kalau anda bercuti ke Sarawak, khususnya apabila berada di Kuching. Yelah, ramai rakyat Malaysia sudah menjejakkan kaki ke Australia, Eropah, dan ada yang telah mengembara jauh ke Rusia. Tapi, masih ramai yang tidak tahu tarikan menarik yang ada di salah sebuah negeri di Borneo, Malaysia ini.

Waterfront, Kuching

Darul Hana Bridge - Waterfront, Kuching

Percutian anda ke Kuching tidak lengkap sekiranya anda tidak melawat Kuching Waterfront. Kuching merupakan tempat mula-mula Raja James Brooke mendarat di Sarawak. Dermaga ini didirikan sepanjang 1km di pinggir Sungai Sarawak. Segala-galanya yang anda perlukan dan anda mahu ditemui terdapat di sini.

Perkara pertama yang anda dapat lihat di sepanjang pantai adalah patung-patung kucing. Sepanjang pantai, terdapat beberapa fakta menarik yang berkaitan dengan bandar Kuching.

Terdapat juga beberapa tarikan di sekitar termasuk monumen untuk menghormati Charles Brooke dan kuil Cina tertua di Kuching, Kuil Tua Pek Kong.


Anda boleh dapatkan cenderahati dan buah tangan di kedai-kedai berdekatan Kuching Waterfront.

Pada malam hari pula, terdapat pasar malam yang menjual pelbagai jenis barangan dan makanan di sini. Malah, suasana malam hari cukup meriah dengan lampu berwarna-warni menghiasi sekitar perkarangan tepian Sungai Sarawak ini.

Lokasi: Jalan Main Bazaar, 93000 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: Sepanjang waktu

Sarawak River Cruise

Sarawak River Cruise

Selain menggunakan kereta, anda juga boleh menaiki bot untuk melihat tempat-tempat menarik di Kuching. Sarawak River Cruise akan membawa anda menyusuri sepanjang Sungai Sarawak sambil menikmati pemandangan menarik di sekitarnya.

Sarawak River Cruise menawarkan pakej perjalanan menyusuri sungai selama 2 jam, pada harga antara RM60 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak. Jamuan minum petang disediakan sepanjang tempoh 2 jam tersebut.

Pengunjung juga akan dipersembahkan dengan tarian Suku kaum Etnik Sarawak.

Antara pemandangan yang boleh dilihat dari atas bot adalah Brooke’s Dockyard, bekas masjid negeri, Astana (tempat gabenor Sarawak bertugas), Fort (Kubu) Margherita, Waterfront, gunung Santubong dan juga Kampung Boyan yang unik.

Oh ya, menerusi Sarawak River Cruise juga anda boleh melihat kediaman salah seorang ahli keluarga terdekat bekas Ketua Menteri yang kini menjadi Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak yang ke-7, iaitu Tun Pehin Sri Haji Taib Mahmud yang tersergam indah laksana istana seorang raja Sarawak.

Anda juga akan dapat menikmati pemandangan di pinggir sungai serta dalam masa yang sama boleh juga merasai pengalaman melihat matahari tenggelam jauh di horizon Sungai Sarawak.

Lokasi: 1st Floor, Lot 42, Section 33, 124, Jalan Tabuan, 93100 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: Setiap hari (5.30 petang – 7.00 malam)
Bayaran: RM60 Dewasa, RM30 Kanak-kanak

Muzium Sarawak

Sarawak Museum - Muzium Terbesar di Asia Tenggara

Muzium Sarawak telah diiktiraf sebagai muzium terbaik di dunia. Ia telah dibuka pada tahun 1891 dan merupakan muzium tertua di Borneo. Ia juga adalah muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara.

Muzium ini memaparkan 1001 keunikan yang ada di Sarawak termasuklah sejarah dan budaya masyarakat etnik yang pelbagai. Malah, ia turut mempamerkan artifak, seni kraftangan asli etnik Sarawak, serta bahan sejarah lain yang diperoleh di Pulau Borneo.

Sarawak Museum

Simpanan berharga muzium ini masih kekal utuh walaupun semasa berlaku peralihan kuasa dari British ke tangan Jepun kerana pemerintah Jepun pada waktu itu juga berusaha mengekalkan muzium ini dari dijarah tenteranya.

Antara pameran yang menarik di Muzium Sarawak ialah anda akan dapat melihat koleksi haiwan-haiwan Borneo yang disimpan oleh naturalis terkenal Alfred Wallace, yang kebanyakkannya telah atau hampir pupus. Di samping itu, anda juga dapat melihat sendiri suasana rumah panjang, lengkap dengan ukiran patung kayu dan tengkorak manusia.

Di seberang jalan, bangunan baru muzium ini pula memaparkan pelbagai senjata masyarakat asal Sarawak di samping artifak tiang pengebumian Kenyah dan bot perang etnik Iban.

Bayaran masuk adalah percuma.

Bagi anda yang meminati sejarah, Muzium Sarawak pasti menjadi tempat wajib untuk kunjungi.

Lokasi: Jalan Tun Abang Haji Openg, Taman Budaya, 93400 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: Isnin-Jumaat (9.00 pagi – 4.00 petang); Sabtu-Ahad (10.00 pagi – 4.00 petang)

Muzium Islam Sarawak

Muzium Islam Sarawak

Bangunan muzium ini dahulunya merupakan James Brooke Malay College dan kemudian diambil-alih dan diubah-suai bersesuaian menjadi sebuah muzium.

Pada tahun 1930 bangunan ini dikenali sebagai Madrasah Melayu Sarawak. Ianya digunakan khas untuk melatih para guru dalam pendidikan Melayu peringkat tinggi. Tujuannya adalah untuk menggalakkan lebih ramai orang Melayu untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam membangunkan masyarakat Melayu itu sendiri (Sarawak Gazette, 2 Mac, 1931).

Muzium ini terbahagi kepada tujuh buah galeri. Setiap galeri mempamerkan bahan yang berkaitan dengan sesuatu disiplin seperti seni reka bentuk, persenjataan, seni hiasan dan sejarah Islam di Sarawak.

Lokasi: Jalan P.Ramlee 93400 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: Isnin-Jumaat (9.00 pagi – 4.00 petang); Sabtu-Ahad (10.00 pagi – 4.00 petang)
Bayaran: Percuma

Muzium Tekstil

Muzium Tekstil ini diwujudkan di banguna Pavilion. Senibina bangunan adalah campuran Renaissance Inggeris dan Penjajah British.

Ia telah dibina dalam tahun 1907 sebagai Pusat Perubatan dan kemudiannya dijadikan sebagai pejabat Jabatan Pendidikan. Muzium Tekstil ini menyimpan dan mempamerkan tekstil dan busana asli tempatan yang ditenun dan dipakai oleh etnik masyarakat Sarawak. Antaranya ialah Pua Kumbu masyarakat Iban dan Kain Songket Melayu Sarawak.

Lokasi: Jalan Tun Abang Haji Openg
Waktu Operasi: Isnin-Jumaat (9.00 pagi – 4.00 petang); Sabtu-Ahad (10.00 pagi – 4.00 petang)
Bayaran: Percuma


Astana Kuching

Astana merupakan sebuah istana yang terletak di utara tebing Sungai Sarawak, berhadapan dengan Kuching Waterfront. Kini, ia merupakan kediaman rasmi bagi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, yang mewakili Sarawak dalam Majlis Raja-raja.

Istana ini telah dibina pada tahun 1870 oleh Raja Putih Sarawak ke-2, Charles Brooke sebagai hadiah buat perkahwinannya dengan isteri baginda Margaret Alice Lili de Windt. Istana ini pada kebiasaannya dibuka untuk lawatan umum kepada pelancong. Dari tepi Kuching Waterfront, pengunjung dapat melihat dengan jelas taman dan Astana Kuching Sarawak dari bot yang dinaiki melintasi Sungai Sarawak.

Lokasi: Jalan Astana Lot, Kampung Istana
Bayaran: RM2.00

Bangunan Steamship Sarawak

Bangunan Steamship adalah bangunan warisan yang terletak di Kuching Waterfront. Bangunan ini asalnya adalah milik syarikat steamship yang ditubuhkan pada tahun 1875. Iaitu pengenalan kepada kapal pengangkut untuk menggantikan kapal layar bagi membolehkan penghantaran dilakukan sepanjang tahun tanpa bergantung pada angin monsun.

Bangunan ini dibina tahun 1930-an, semasa pemerintahan Charles Vyner Brooke, Raja Putih ketiga dan terakhir di Sarawak. Ia digunakan sebagai syarikat atau gudang, serta pejabat.

Hari ini bangunan Sarawak Steamship Co. telah menjalani pemulihan, dan ia menempatkan kedai makanan & minuman serta kedai serbaneka.

Lokasi: No. 52, P.O. Box 131, Jalan Main Bazaar, Kuching

Masjid Bandaraya Kuching

Masjid Bandaraya Kuching
Masjid Bandaraya Kuching adalah masjid pertama dan paling tua di Negeri Sarawak dan menjadi lambang Islam di negeri ini. Masjid ini dibina pada tahun 1847 oleh seorang Ketua Orang Melayu Sarawak yang termasyur dan ternama, iaitu Datu Patinggi Ali dan keluarganya.

Masjid ini telah melalui pelbagai fasa pembaharuan sejak 1847 hingga 1967. Dalam bulan Februari, 1966, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, mencadangkan supaya masjid lama itu diroboh dan digantikan dengan sebuah masjid yang baru. Cadangan ini telah diterima dan usaha-usaha pun diteruskan untuk memungut lebih besar lagi derma, kerana kos membina sebuah masjid baru dijangkakan menelan belanja kira-kira RM1 juta.

Lokasi: 332, Jalan Datuk Ajibah Abol, Kampung No3, 93400 Kuching, Sarawak


Perkampungan Melayu

Terdapat banyak kampung Melayu asli (kampung tradisional Melayu) di sepanjang tebing utara Sungai Sarawak, bersebelahan dengan Fort Margherita. Antara tiga buah kampung utama iaitu Kampung Boyan, Kampung Gersik dan Kampung Sourabaya. Anda boleh menaiki teksi melalui jalan darat atau menaiki bot penambang untuk ke sana.

Kek Lapis sememangnya sinonim dengan Sarawak. Tidak lengkap sekiranya anda tidak menikmati Kek Lapis Sarawak sekiranya datang ke sini. Lokasi popular di Kuching untuk kek lapis ialah di perkampungan Melayu ini. Terdapat beberapa kedai menjual kek lapis, tetapi yang paling popular di kalangan pelancong ialah Kek Lapis Dayang Salhah, Mira Cake House dan Kek Lapis Zaharah. Kesemuanya dikatakan sedap belaka.

Anda boleh mencuba dulu sebelum beli. Terdapat lebih daripada 30 jenis kek lapis. Selain daripada kek lapis, terubuk ikan masin juga adalah makanan wajib yang dibeli oleh pelancong dari Semenanjung untuk dibawa pulang.

Rumah Panjang Bidayuh - Kampung Annah Rais

Rumah Panjang Bidayuh - Kampung Annah Rais

Kampung Annah Rais merupakan perkampungan rumah panjang masyarakat Bidayuh. Kampung ini terletak kira-kira 60 km dari bandar Kuching. Pelancong boleh melihat keunikan cara hidup, menghayati kreativiti dalam kesenian kraftangan dan budaya masyarakat Bidayuh.

Terdapat rumah inap desa disediakan bagi mereka yang ingin bermalam. Di sini juga terdapat kolam mandian panas semulajadi bersebelahan air sungai yang sejuk.

Kubu Margherita

Kubu Margherita terletak di atas tebing Sungai Sarawak mengadap Pekan Kuching berhampiran kediaman Brooks. Kubu ini dinamakan ‘Fort Margherita’ bersempena nama isteri Charles Brook, Rajah kedua Sarawak iaitu Ranee Margaret.

Kubu ini berbentuk bangunan segi empat dibina dari batu-bata berplaster. Rekabentuk bangunan ini adalah berdasarkan kubu dan istana Inggeris Renaissance. Pembinaan bangunan ini bermula pada tahun 1879.

Semenjak itu, bangunan ini digunakan sebagai penempatan pasukan tentera pertahanan kota, gedung senjata, penjara, menara kawalan dan pusat mengawal di bawah pemerintahan Rajah Kedua. Pada tahun 1971, bangunan ini dijadikan sebagai Muzium Polis dan kini dipulihara sebagai kubu.

Lokasi: Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: Isnin-Jumaat (9.00 pagi – 4.00 petang); Sabtu-Ahad (10.00 pagi – 4.00 petang)
Bayaran: Percuma

Pasar Serikin

Pasar Serikin terletak kira-kira 60 km dari bandar Kuching. Ia bersempadan dengan Indonesia, jadi tidak hairanlah jika peniaganya ada yang warga Indonesia.

Di sini anda boleh tawar-menawar untuk mendapatkan harga lebih rendah untuk sesuatu barang yang dijual. Pelbagai jenis barangan baru dan terpakai dijual. Selain itu, terdapat barangan basah seperti sayur, ikan dan lain-lain yang menjadi keperluan harian penduduk tempatan.

Lokasi: Serikin, 94000 Bau, Sarawak
Waktu Operasi: 6.00 pagi – 12.00 tgh hari (Sabtu & Ahad)

Medan Niaga Satok

Medan Niaga Satok terletak di tebing Sungai Sarawak, kira-kira 6km dari Bandar Kuching. Medan Niaga ini merupakan pasar tani terbesar dalam negara yang diuruskan oleh FAMA, dengan kapasiti 1,444 ruang niaga tetap, dan keutamaan diberikan kepada peniaga sedia ada di Pasar Tamu Satok, termasuk 600 ruang untuk peniaga hasil hutan yang sebelum ini berniaga di Pasar Minggu Satok.

Lokasi: Petra Jaya, 93050 Kuching, Sarawak
Waktu Operasi: 7.00 pagi – 10.00 pagi (Sabtu); 7.00 pagi – 12.00 tgh hari (Ahad)

Kuching Square Tower

Bangunan ini berbentuk segi empat dan dibina pada tahun 1879. Pada mulanya bangunan ini dijadikan sebagai kem tahanan untuk banduan. The Square Tower kemudiannya ditukar menjadi kubu pertahanan. Malah, ia juga pernah juga digunakan sebagai dewan tarian oleh pemerintahan Brooke.

Lokasi: Jalan Main Bazaar, 93000 Kuching, Sarawak

Sebenarnya ada banyak lagi tarikan tempat menarik wajib singgah di sekitar Bandaraya Kuching ini. Anda boleh semak di laman web rasmi Tourism Sarawak di sini - https://sarawaktourism.com/category/story/

Nak lagi info percutian menarik sekitar Borneo, Malaysia dan tempat lain? Pastikan anda melanggan secara percuma artikel terkini dari Daain.info terus ke inbox mel anda. Hanya isikan alamat email anda di ruangan di bawah.

Previous Post Next Post