Ketahui 14 Tempat Menarik Untuk Dilawati di Perlis

Negeri Perlis. Walupun negeri ini kecil, tetapi ia mempunyai banyak tempat tarikan menarik untuk para pelancong. Selain dikenali sebagai negeri yang terkenal dengan buah mempelam Harum Manis, ia juga merupakan negeri yang menjadi pintu masuk kepada negara Thailand, dan juga untuk ke Pulau Langkawi, Kedah.

Negeri Perlis merupakan negeri yang terkecil di Malaysia. Ia terletak di utara Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Provinsi Satun dan Songkhla, Thailand di sebelah utara, dan Kedah di sebelah selatan.

14 Tempat Menarik di Negeri Perlis

Tempat menarik di Perlis

Antara tempat menarik yang ada di negeri Perlis ialah Taman Ular, Taman Tasik Melati, Tasik Timah Tasoh dan banyak lagi. Nak tahu lebih lanjut mengenai lokasi dan senarai tempat menarik untuk percutian di Perlis, baca artikel ini sehingga habis. Oh ya, jangan lupa bookmark .. mudah untuk dijadikan rujukan kelak.


Perlis pernah dikenali sebagi Palit (Bahasa Thai: ปะลิส) di kalangan masyarakat Siam satu ketika dahulu. Ini adalah kerana negeri Perlis ini pernah berada dibawah pengaruh dan pemerintahan Kerajaan Lama Siam.

Namanya ditukar setelah Perlis menjadi sebuah negeri yang berdaulat pada 20 Mei 1843 apabila Kerajaan Siam melantik Syed Hussain Jamalullail sebagai Raja Perlis. Bermula dari tarikh itu, Perlis yang asalnya sebuah daerah jajahan Kedah bertukar menjadi sebuah negeri naungan yang berdaulat yang mempunyai seorang raja.

Muzium Kota Kayang

Tempat menarik di Perlis

Kesan penjajahan ini telah mencorakkan serba sedikit landskap yang ada di negeri Perlis, dan ada di antaranya menjadi tarikan untuk pelancong dari dalam dan luar negara. Salah satu tempat atau lokasi yang menarik untuk mengetahui selok-belok negeri Perlis adalah Muzium Kota Kayang.


Muzium Kota Kayang merupakan muzium yang menyimpan artifak sejarah Negeri Perlis. Tanah tapak muzium ini pernah menempatkan kediaman ketua menteri Raja pada abad ke-19. Pada awal abad ke-20 pula, ia menjadi kediaman rasmi penasihat British.

Namun, ketika Perang Dunia Kedua, ia diambil alih oleh Tentera Jepun sehinggalah 1943 yang kemudiannya diambil-alih oleh tentera Thai.

Selepas Malaysia mendapat kemerdekaan, bangunan ini didiami oleh Ketua Menteri Perlis. Namun pada tahun 1991, bangunan kediaman yang antik itu dirobohkan, kemudiannya tapak tersebut digunakan untuk membina Muzium Kota Kayang.

Anda boleh masuk secara percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran. Waktu operasi adalah setiap hari bermula dari jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang.

Masjid Terapung Al-Hussain

Tempat menarik di Perlis

Masjid Terapung Al-Hussain, ia merupakan tarikan terbaru di negeri Perlis. Malah, masjid ini menjadi salah satu ikon untuk negeri Perlis. Masjid ini diilhamkan oleh Raja Muda Perlis, iaitu Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalulail; dan telah dibina menerusi hasil sumbangan seorang ahli perniagaan, Tan Sri Mohd. Ariffin Yusuf dan dibuka pada 8 Oktober 2011.

Masjid ini sangat cantik pada bahagian dalamannya. Apatah lagi dengan lokasinya ianya dibina, iaitu di tepi pantai atau jeti Kuala Perlis menghadap laut Selat Melaka. Binaan masjid ini menggunakan bahan berkualiti terbaik seperti marmar, kuartz, batu granit, pebbles dan coral.

Keunikan masjid ini terletak pada binaannya, terutama dinding luar masjid yang tidak menggunakan cat sebaliknya sekadar menggunakan batu-batuan jenis koral, kuartz, granit, marmar dan pebbles sebagai latar hiasan.

Masjid Alwi

Tempat menarik di Perlis

Masjid Alwi di Kangar adalah salah satu daripada mercu tanda syiar Islam di Negeri Perlis. Masjid Alwi Kangar telah dibina pada tahun 1931 dengan perbelanjaan menerusi dana kutipan wang zakat serta derma dari pegawai-pegawai kerajaan yang beragama Islam dan saudagar-saudagar Islam serta peruntukkan dari Kerajaan Negeri Perlis.

Sebenarnya, usaha-usaha mengumpulkan dana bagi membangunkan sebuah masjid di Kangar telah dijalankan semenjak tahun 1920an lagi, dan pembinaanya hanya siap dibina pada Febuari 1933. Ianya dibuka secara rasmi oleh Almarhum Tuanku Syed Alwi Ibni Almarhum Tuanku Syed Safi Jamalilail pada 14 Syawal 1351 Hijrah bersamaan 10 Febuari 1933.

Masjid yang begitu indah ini telah dinamakan sebagai “Masjid Alwi” iaitu sempena nama Raja Negeri Perlis ketika itu iaitu Almarhum Tuanku Syed Alwi Jamalullail.

Atas sebab nilai sejarah yang ada pada mercu tanda negeri Perlis ini, ianya telah didaftarkan sebagai Bangunan Warisan di bawah akta warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan diluluskan oleh Dato’ Profesor Emeritus Zuraina Majid (Pesuruhaya Warisan 2008) dari Jabatan Warisan Negara di Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Malaysia.

Masjid putih berkubah hitam ini dibina dengan konsep rekaan Mughal klasik terutamanya pada kubah masjid ini.

Sehingga kini, Masjid Alwi masih digunakan dan menjadi antara masjid utama di Negeri Perlis. 

Taman Bunga Kertas Tuanku Lailatul Shahreen

Satu lagi tarikan terbaru yang ada di negeri Perlis. Di taman ini, selain daripada anda dapat melihat dan mengenali pelbagai jenis bunga kertas, anda juga boleh bergambar di kawasan ini. Menerusi kemeriahan warna-warni bunga kertas, gambar kenangan yang dirakamkan pasti menjadi sangat menarik.

Taman ini dibina di Laman Cenderawasih, iaitu di pinggir Bukit Lagi bersebelahan dengan Taman Budaya Negeri Perlis. Nama taman ini diambil sempena nama Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah.

Tiada bayaran masuk ke taman ini dikenakan. Ia terbuka kepada umum.

Hutan Lipur Bukit Ayer

Tempat menarik di Perlis

Salah satu hutan lipur yang masih kekal wujud di negeri Perlis. Ianya terletak cuma 12 km sahaja dari Bandar Kangar. Di sini terdapat air sungai yang sesuai untuk anda sekeluarga bermandi-manda. Ia dilengkapi dengan kolam mandi dan juga gelongsor air.

Hutan Lipur Bukit Ayer dilengkapi dengan banyak kemudahan asas untuk para pengunjung, antaranya tandas, surau, kawasan parkir, taman permainan serta tapak perkhemahan. Malah, untuk mereka yang berniat untuk menginap di hutan lipur ini, terdapat chalet yang boleh disewakan.

Waktu malam pastinya lebih nyaman dan aman dengan persekitaran yang jauh dari hiruk-pikuk manusia. Waktu inilah seronok untuk melakukan aktiviti seperti BBQ terutama untuk mereka yang ambil peluang untuk bermalam di Hutan Lipur Bukit Ayer.

Hutan Lipur Bukit Kubu

Tempat menarik di Perlis

Selain Hutan Lipur Bukit Ayer, terdapat satu lagi hutan lipur di Perlis iaitu Hutan Lipur Bukit Kubu. Tempat ini menjadi pilihan buat para pengunjung yang suka melakukan aktiviti luar sambil menikmati alam semulajadi.

Yang menariknya di Hutan Lipur Bukit Kubu ini ialah terdapatnya dua buah gua batu di sini iaitu Gua Ikan dan Gua Harimau. Buat mereka yang suka menjelajah masuk ke dalam gua, destinasi ini adalah antara yang terbaik di Perlis.

Tempat menarik di Perlis

Keunikan lainnya ialah pada jenis tumbuhan yang ada. Suasana di sini sangat nyaman dan segar. Tumbuhan di sini adalah jenis hutan separa daun luruh serta dikelilingi sawah padi. Di bahagian belakang Hutan Lipur Bukit Kubu ini juga terdapat sebuah tasik yang dipanggil Tasik Putri Kayang.

Taman Tasik Melati

Tempat menarik di Perlis

Taman Tasik Melati adalah merupakan taman rekreasi yang popular di negeri Perlis. Ianya terletak hanya 10km dari Bandar Kangar. Tempat ini sangat sesuai dilawati pada waktu petang untuk menikmati keindahan tasik yang mendamaikan.

Keunikan tasik ini adalah ia memiliki lebih daripada 150 buah pulau beting pasir. Terdapat jambatan untuk anda merentasi tasik ini, sambil menikmati pemandangan tasik yang indah dengan kehijauan gunung-ganang di latarnya.

Taman Negeri Perlis

Tempat menarik di Perlis

Taman Negeri Perlis merupakan taman negeri yang pertama ditubuhkan di Semenanjung Malaysia iaitu pada tahun 1997 dan diwartakan pada 3 Julai 2008. Taman ini terletak di sebahagian Hutan Simpan Mata Ayer dan Hutan Simpan Wang Mu dengan keluasan 4,379.81 hektar.

Taman Negeri Perlis terletak di sebelah barat negeri Perlis dan mengunjur di atas banjaran batu kapur yang terpanjang di Malaysia (38 km) yang dikenali sebagai Banjaran Nakawan.


Keunikan Taman Negeri Perlis bukan hanya pada flora dan fauna yang endemik iaitu pokok Bogak (Cycas clivicola) sejenis tumbuhan zaman purba dan Beruk kentoi (Macaca arctoides) yang masih boleh ditemui di kawasan Taman Negeri Perlis, tetapi termasuk formasi geologi kawasan itu sendiri.

Tempat menarik di Perlis

Tahukah anda bahawa sebahagian besar bukit-bukit batu kapur yang terdapat di sepanjang Banjaran Nakawan adalah terdiri daripada Formasi Setul yang tertua di Malaysia dan dianggarkan berusia lebih 500 juta tahun. Pasti ramai yang tidak mengetahui fakta menarik ini.

Selain itu terdapat juga tempat-tempat lain yang menarik dan boleh dikunjungi oleh pengunjung di Taman Negeri Perlis seperti Gua Wang Burma, Pekan Pelancongan Wang Kelian, Bukit Pelarit, Bukit Rongkit, Denai Warisan, Denai Putera Denmark, Tasik Meranti, kawasan menara pandang dan Gunung Perlis.

Di samping itu, terdapat dua buah penempatan yang berhampiran dengan Taman Negeri Perlis iaitu Kampung Wang Kelian dan Pekan Kaki Bukit.

Bukit Keteri

Buat anda yang menggemari aktiviti ekstrem, gunakan kesempatan untuk melakukan aktiviti rock-climbing di Bukit Keteri. Bukit Keteri merupakan bukit batu kapur yang terkenal di Perlis yang juga merupakan destinasi aktiviti rock-climbing yang terkenal di Asia.

Aktiviti ini buat mereka yang tidak biasa memang memenatkan, tetapi sebaik sahaja sampai di puncak, lelah akan hilang sebaik sahaja dapat melihat panorama yang menghijau dari puncak.

Taman Ular dan Reptilia Perlis

Tempat menarik di Perlis

Tak sah kiranya anda tiba dan bercuti di negeri Perlis jika tidak ke Taman Ular dan Reptilia Perlis. Di taman ini terdapat lebih 150 ekor ular yang terdiri daripada 34 spesies, ada di antara spesies ular luar negara dan ada yang menghampiri ancaman kepupusan.

Yang menariknya ialah, anda akan diberikan peluang untuk menyentuh ular-ular tersebut, dengan bantuan pakar jinak ular dan staff taman ular yang berpengalaman. Jika bertuah, anda mungkin dapat melihat persembahan ular dijayakan oleh mereka yang handal dalam mengendalikan ular berbisa.

Tempat menarik di Perlis

Selain daripada ular, terdapat juga haiwan reptilia lain di galeri haiwan di sini. Anda berpeluang melihat lebih dekat spesies-spesies burung, arnab, hamster, kura-kura, kala jengking, iguana dan banyak lagi.

Bayaran masuk ke taman ini tersangatlah murah. Sangat rugi sekiranya anda tidak memanfaatkan peluang ini. apatah lagi bukan mudah nak melihat haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking dari dekat.

Lokasi taman ini adalah di Sungai Batu Pahat. Bayaran masuk adalah RM5 untuk dewasa manakala kanak-kanak dikenakan bayaran RM2. Penggunaan kamera dikenakan bayaran sebanyak RM1 dan RM2 untuk video kamera.

Rimba Herba Perlis

Rimba Herba Perlis terletak bersebelahan dengan Hutan Lipur Bukit Ayer dan Taman Ular & Reptilia. Nama asalnya adalah Taman Herba Perlis. Namun sejak 2006, ia ditukar kepada Rimba Herba Perlis bersesuaian dengan persekitaran ekologinya yang mengekalkan hutan semula jadi.

Rimba Herba Perlis memiliki lebih 1,000 koleksi tumbuhan yang terdiri daripada tumbuhan ubatan. Ia diperolehi secara semulajadi di hutan ini dan dari juga dari beberapa tempat lain. Selain tumbuhan herba, kawasan ini turut dilengkapi laman orkid, wakaf rehat dan bangku bersesuaian dengan aktiviti pengunjung yang kepenatan selepas seharian mengelilingi rimba berkenaan.

Bayaran dikenakan sebanyak RM1 untuk dewasa dan separuh harga untuk kanak-kanak.

Taman Anggur Perlis

Taman Anggur ini terletak berdekatan dengan Rimba Herba dan Taman Ular & Reptilia. Taman ini biasanya dikunjungi pelajar dan murid sekolah yang biasanya mahu belajar mengenai selok-belok penanaman anggur.

Gua Kelam

Tempat menarik di Perlis

Lagi satu lokasi menarik yang harus anda lawati jika pergi bercuti di negeri Perlis iaitu Gua Kelam. Menurut sejarah, nama Gua Kelam adalah gelaran yang diberikan oleh pelombong-pelombong bijih timah sempena kegelapan gua ini. Mereka terpaksa menggunakan lampu karbid untuk menerangi kawasan dalam gua yang kelam.

Gua Kelam (Cave of Darkness) ialah satu daripada gua batu kapur yang tertua di Malaysia, sepanjang 370 meter berdekatan sebuah pekan kecil yang dipanggil Kaki Bukit. Ia terletak kira-kira 33km di utara Kangar. Taman Rekreasi Gua Kelam terkenal dengan 'laluan di dalam gua' yang mempesonakan di mana anda boleh masuk dari satu hujung gua dan keluar melalui satu hujung di lokasi yang berlainan.

Tempat menarik di Perlis

Satu-satunya laluan untuk ke gua ialah melalui jambatan gantung yang diperbuat daripada kayu selebar lapan kaki. Jambatan ini menghubungkan Kaki Bukit ke Lembah Wan Tangga, sebuah lembah di hujung bertentangan Gua Kelam.

Satu fakta menarik dari sudut sejarah yang mungkin anda tak tahu - Pada tahun 1935, seorang warga Inggeris mendapati laluan air yang terdapat di dalam gua boleh digunakan untuk memindahkan bijih besi dari lombong yang terletak berdekatan laluan masuk anak sungai melalui gua bawah tanah ke Kaki Bukit.

Gua Kelam dibuka dari jam 9:00 pagi hingga jam 6:00 petang. Bayaran masuk dikenakan serendah RM1 untuk dewasa, separuh harga untuk kanak-kanak.

Padang Besar

Tempat menarik di Perlis

Buat mereka yang suka membeli-belah, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk ke Padang Besar yang bersempadanan dengan Thailand. Di Padang Besar, pelbagai aneka barang dan produk boleh didapati daripada pakaian, hasil kraftangan, mainan kanak-kanak, makanan dan pelbagai lagi termasuklah produk pertanian.

Ia adalah kawasan bebas cukai. Jadi, sudah semestinya harga barangan yang dijual di Padang Besar adalah jauh lebih murah dari tempat lain, terutama di luar negeri Perlis.

Kawasan ini sentiasa padat dengan pengunjung dan pelancong terutama di waktu cuti panjang dan cuti sekolah.

Disinilah juga, anda boleh membawa balik ole-ole dari negeri Perlis sebagai kenang-kenangan, walaupun ada produk yang dijual bukanlah dari produk tempatan .. :)

Previous Post Next Post