Guna Istilah PM Tepi - Boleh Didenda RM100K

Istilah PM TEPI amat popular bagi peniaga online. Rata-rata yang berniaga online terutama menerusi platform Facebook akan mengguna-pakai istilah ini yang asalnya adalah PM HARGA (private message harga). Tak kira samada anda seorang penjual atau pembeli, istilah PM TEPI sudah menjadi satu amalan dalam perniagaan online di Facebook.

Walau amaran sudah dikeluarkan agar tidak menulis perkataan pm tepi tetapi nampaknya peniaga dan juga pembeli mudah terlupa bahawa perkataan tersebut dilarang untuk digunakan dalam urusan jual-beli di media sosial.

Denda Sehingga RM100,000 Andai Gunakan 'PM Tepi' Ketika Berniaga Online


Mungkin terlupa atau sudah biasa menulis perkataan tersebut, nyata ia membawa padah apabila Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mula menyerbu peniaga degil.

Buktinya, pada 13 Mac, peniaga perabot yang menjalankan perniagaan di media sosial menjadi antara syarikat pertama diserbu sekumpulan pegawai dari KPDNHEP kerana menggunakan perkataan PM TEPI ini.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, siasatan awal pihaknya mendapati syarikat itu beroperasi menerusi laman Facebook (FB) sejak Ogos 2018.

“Kita berjumpa dengan pengarah syarikat itu dan beliau mengakui pihaknya tidak mempamerkan maklumat yang sepatutnya seperti harga serta spesifikasi barangan yang dijual,” katanya pada sidang media di pejabat KPDNHEP Selangor.

Beliau berkata tindakan lelaki berusia 41 tahun itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 (Perbadanan) dan denda RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya (Perseorangan) mengikut Seksyen 145 Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Katanya, sepanjang tahun 2018 7,729 aduan diterima oleh KPDNHEP Selangor dan 1,195 membabitkan aduan pengguna yang membeli barangan dalam talian. (sumber Harian Metro).

Dalam pada itu, di sini dikongsikan tulisan seorang peguam Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Cinnai & Co yang mungkin boleh dihadamkan oleh peniaga online dan orang ramai yang berhak tahu harga, bukannya masih menggunakan istilam pm tepi.

Daripada penelitian kes, syarikat perabot yang diserbu tersebut telah menggunakan konsep PM atau mesej peribadi ketika berurusan dan beroperasi menerusi laman Facebook sejak Ogos 2018.


Sebab 'PM Tepi' Dianggap Satu Kesalahan

Berdasarkan kenyataan KPDNHEP, kenapa ‘PM tepi’ ini adalah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang, boleh dirumuskan seperti di bawah:

  1. Tidak mempamerkan harga barangan yang dijual;
  2. Tidak mempamerkan spesifikasi barangan yang dijual;
  3. Penjual atau peniaga perlu meletakkan maklumat yang jelas mengenai produk serta perkhidmatan yang ditawarkan supaya hak pengguna tidak dicabul;
  4. Konsep ‘PM Tepi’ menjadi satu kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.
  5. Juga jika sabit kesalahan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 boleh didenda di bawah Seksyen 145 iaitu maksimum RM50,000.00 (bagi individu)/ RM100,000 (bagi badan korporat) atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Jadi konsep PM tepi ini menjadi kesalahan kerana dianggap tidak telus dan boleh berlaku manipulasi harga. Oleh yang demikian ia merupakan satu kesalahan.

Pun begitu, dalam kes ini, serbuan berlaku kerana terdapat aduan daripada pengguna.

Tips Untuk Elakkan Dikenakan Tindakan oleh Pihak Berkuasa

Jadi, bagaimana nak elak daripada terkena denda atau menyalahi peraturan semasa menjalankan perniagaan secara online?
Peniaga online perlu mematuhi Jadual 1, Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 iaitu mendedahkan maklumat seperti berikut bagi mengelakkan hukuman denda atau penjara:

  • Nama orang yang menjalankan perniagaan atau nama perniagaan atau nama syarikat. Nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat, jika terpakai. Alamat e-mel dan nombor telefon, atau alamat orang yang menjalankan perniagaan.
  • Perihalan tentang ciri utama barang atau perkhidmatan itu.
  • Harga penuh barang atau perkhidmatan termasuklah kos pengangkutan, cukai dan apa-apa kos lain.
  • Kaedah pembayaran.
  • Terma-terma dan syarat-syarat.
  • Anggaran masa penghantaran barang atau perkhidmatan kepada pembeli.

Adalah lebih selamat, mereka yang ingin menjalankan perniagaan secara online menggunakan platform yang lebih baik seperti Lazada atau Shopee untuk menjual produk dan juga servis.

Previous Post Next Post